Tetapi, pernahkah anda terfikir, adakah Hero-hero tak pernah takut apabila berhadapan dengan musuh? Tidak! Mereka juga ada perasaan takut. Tetapi adakah mereka berundur? Lari dari medan pertempuran? Tidak! Hero-hero kita tidak berundur. Bahkan mereka berjuang hingga nyawa terkorban. Apa rahsianya? Rahsianya adalah kerana mereka BERANI. Kenapa mereka berani? Kerana mereka tahu, mereka adalah pihak yang BENAR. BERANI KERANA BENAR. Inilah prinsip yang mereka pegang.
Tetapi apa sebenarnya mereka pertahankan hingga beroleh keberanian luarbiasa? Prinsip apakah yang mendorong mereka hingga sanggup mati?
Kita sering mendengar kata-kata ‘berani kerana benar’. Tetapi bagaimana ingin memperoleh ‘keberanian’ itu. Syarat paling utama adalah: kita mestilah punya PRINSIP yang benar yang ingin dipertahankan.
Dalam lipatan sejarah Islam, terlalu banyak kisah yang memaparkan pejuang-pejuang Islam sanggup mati demi mempertahankan prinsip yang mereka pegang – AQIDAH. Mereka sanggup diseksa, meninggalkan harta & keluarga, dipenjara, dihalau, bahkan dibunuh kerana mereka BERANI mempertahankan AQIDAH. Hanya kerana mereka ingin terus mengatakan bahawa: ALLAH adalah Tuhanku dan Muhammad adalah RasuluLlah!
Bilal diseksa begitu dahsyat dipadang pasir. Sumayyah mati diseksa. Nabi Muhammad SAW dan sahabat-sahabat (ridhwanuLlahi‘alaihim) dalam perang Badar; 313 tentera Islam melawan 1000 tentera kafir. Logiknya, mustahil kekuatan 313 orang yang senjatanya tidak lengkap boleh menang melawan 1000 orang yang dilengkapi senjata canggih di padang pasir ketika itu.
Tetapi itulah hakikatnya. Mereka berjuang, mati, dan sanggup menerima apa sahaja demi mempertahankan prinsip yang mereka pegang.
Berani kerana benar!